Dengan ini, saya ingin membawa dalil-dalil dan hujah-hujah bagi orang yang bertanya tentang mazhab. Adakah kita perlu bertaklid? Tajuk ini dinukil daripada terjemahan buku ashlu sifatin solatin nabi صلی الله عليه وسلم, karya Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Abani, edisi Indonesia yang diterjemah oleh Abu Zakaria al-Atsary, dan sedikit pengolahan bahasa kepada bahasa Malaysia terkini.
Pernyataan Para Imam untuk Mengikuti As-Sunnah dan Meninggalkan Pendapat Mereka yang Menyelisihi Sunnah
Kiranya, suatu hal yang berguna jika kami memaparkan sejumlah atau sebahagian pernyataan mereka yang kami ketahui. Semoga berguna sebagai nasihat dan pelajaran bagi mereka yang bertaklid kepada para imam tersebut-bahkan taklid kepada seseorang yang darjat kedudukannya lebih rendah daripada mereka-secara taklid buta. (Taklid semacam inilah yang dimaksudkan oleh al-Imam Ath-Thawawi, beliau berkata, “Tidaklah seseorang taklid melainkan ia adalah seorang yang fanatik atau seorang pandir.” Perkataan ini dinukil oleh Ibnu Abidin di kitab Rasmu al-Mufti (1/22) dari Majmu'ah Rasaail-nya). Dan berpegang erat dengan mazhab dan pendapat mereka, seolah-olah bagaikan wahyu yang turun dari atas langit.
Allah SWT berfirman:
اتَّبِعُواْ مَا أُنزِلَ إِلَيْكُم مِّن رَّبِّكُمْ وَلاَ تَتَّبِعُواْ مِن دُونِهِ أَوْلِيَاء قَلِيلاً مَّا تَذَكَّرُونَ.
“Kalian ikutilah apa-apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhan kalian dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin selain-Nya. Amat sedikitlah kamu mengambil pelajaran (daripada-Nya)” (Surah al-A'raf 7:3)
Mari kita telusuri setiap perkataan imam-imam mazhab yang empat;
1 Imam Abu Hanifah
Yang pertama antara mereka ialah Imam Abu Hanifah an-Nu'man bin Tsabit. Para sahabatnya telah meriwayatkan banyak perkataan dan ungkapan daripadanya. Semuanya melahirkan satu kesimpulan, iaitu kewajipan untuk berpegang teguh kepada hadis dan meninggalkan pendapat para imam yang yang bertentangan dengannya (hadis).
a. Apabila hadis itu sahih, maka itu ialah mazhabku. (Ibnu Abidin di dalam al-Hasyiah (1/63) dan selainnya)
b. Tidak dihalalkan bagi seseorang untuk berpegang kepada perkataan kami selagi ia tidak mengetahui dari mana kami mengambilnya.
(Ibnu Abdil Barr di dalam al-Intiqa’u fi Fadhaili ats-Tsalatsah al-Aimmahi al-Fuqaha’I {hal.145} dan selainnya)
Dalam satu riwayat dikatakan, ”Haram bagi orang yang tidak mengetahui dalil peganganku lantas memberikan fatwa dengan perkataanku.”
Dalam satu riwayat ditambahkan, “Sesungguhnya kami ialah manusia yang mengatakan perkataan pada hari ini dan meralatnya esok hari.”
Dalam riwayat lain dikatakan, “Kasihan engkau wahai Ya'qub (Abu Yusuf). Jangan engkau tulis setiap yang engkau dengarkan daripadaku. Kerana, boleh jadi aku berpendapat hari ini, namun aku meninggalkannya esok. Kadangkala aku berpendapat dengan suatu pendapat esok, namun aku meninggalkannya lusa.”
(Bahagian utama daripada uraian ini dinukil oleh Abu al-Hasanat di dalam an-Nafi'u al-Kabir {hal.135})
c. “Jika aku mengatakan suatu perkataan yang bertentang dengan kitab Allah dan khabar Rasulullah صلی الله عليه وسلم, maka tinggalkanlah perkataanku.” (Al-Fullani di kitab al-Iqazh {hal 50})
2. Malik bin Anas
Imam Malik berkata:
a. “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia yang boleh salah dan boleh benar. Maka perhatikanlah pendapatku. Setiap pendapat yang sesuai dengan al-Kitab dan as-Sunnah, ambillah. Dan yang tidak sesuai dengan al-Kitab dan as-Sunnah, maka tinggalkanlah.”
(Ibnu Abdi al-Barr di dalam kitab al-Jami' (2/32) dan selainnya)
b. ”Tidak ada seorang pun setelah nabi saw, kecuali daripada perkataannya itu ada yang diambil dan ditinggalkan, kecuali nabi صلی الله عليه وسلم.”
(Ibnu Abdi al-Hadi di dalam kitab Irsyadu as-Salik (227/1) dan selainnya)
c. Ibnu Wahb berkata, “Aku mendengar bahawa Malik ditanya tentang menyela-nyela jari kaki ketika berwudhuk.” Beliau menjawab, ”Amalan itu tidak disyariatkan bagi kaum muslimin.”
Ibnu Wahb berkata, “Maka aku meninggalkannya (tidak memberi komentar) hingga manusia berkurang.” Kemudian aku berkata kepadanya. “Kami mempunyai sunnah yang menerangkan hal itu.”
Beliau berkata, ”Apakah itu?”
Aku (Ibnu Wahb) berkata, “Al-Laits bin sa'ad dan Ibnu Lahi'ah dan Amr bin al-Harits menceritakan kepada kami, dari Yazid bin Amr al-Ma'afiri, dari Abu Abdirrahman al-Hubuly, dari al-Mustaurid bin Syaddad al-Quraisyi, dia berkata, “Aku melihat Rasulullah saw menyela-nyela jari-jari kedua kaki baginda dengan jari kelingkingnya.”
Maka beliau (Imam Malik) berkata, “Hadis ini darjatnya hasan (baik), dan aku belum pernah mendengar hadis ini kecuali saat ini.”
Setelah itu aku mendengar beliau ditanya tentang hal itu, maka beliau memerintah untuk menyela-nyela jari-jari kaki.
(Muqaddimah al-Jarh wa at-Ta’dil oleh Ibnu Hatim {hal 31-32}. Diriwayatkan oleh al-Baihaqi secara lengkap di kitab Sunannya (1/81)
3. Asy-Syafi’i
Adapun perkataan-perkataan yang diambil daripada Imam Syafi’i dalam hal ini lebih banyak dan lebih baik.
(Ibnu Hazm berkata (6/188)), “Sesungguhnya, para ahli fiqh yang ditaklidi itu adalah orang-orang yang membatalkan taklid. Mereka telah melarang sahabat-sahabat mereka untuk bertaklid kepada mereka. Yang paling keras antara mereka adalah Syafi’i. Beliau benar-benar telah menegaskan untuk mengikuti atsar-atsar yang sahih dan berpegang kepada apa-apa yang diwajibkan oleh hujah. Hal seperti ini belum pernah dilakukan oleh selainnya. Ia berlepas diri dari taklid secara umum, dan telah mengumumkan hal itu. Semoga Allah memberikan manfaat dengannya dan memberikan pahala yang besar kepadanya. Demikian itu telah menjadi penyebab adanya kebaikan yang banyak”)
Para pengikutnya pun lebih banyak mengamalkanya dan paling berbahagia. Antara perkataannya:
a. “Tidak ada seorang pun, kecuali dia harus bermazhab dengan sunnah Rasulullah dan mengikutinya. Apapun yang aku ucapkan atau aku tetapkan tentang suatu kaedah dasar sedangkan Rasulullah صلی الله عليه وسلم bertentang dengan ucapanku, maka yang diambil adalah sabda Rasulullah صلی الله عليه وسلم. Dan pendapatku juga seperti itu.”
(Hadis riwayat Hakim dengan sanadnya sampai kepada Syafi’i sebagaimana di dalam Tarikh Dimasyq oleh Ibnu Asakir, (15/1/3), I’lamu al-Muwaqi’in (2/363-364) dan al-Iqazh {hal.100})
b. “Kaum Muslimin telah sepakat bahawa barangsiapa yang telah terang baginya sunnah Rasulullah صلی الله عليه وسلم, maka tidak halal baginya untuk meninggalkan sunnah tersebut, hanya kerana ingin mengikuti perkataan seseorang.”
(Ibnu al-Qayyim(2/361) dan al-Fullani {hal.68})
c. “Apabila kalian mendapatkan di kitabku sesuatu yang bertentang dengan sunnah Rasulullah صلی الله عليه وسلم, maka jadikanlah sunnah Rasulullah صلی الله عليه وسلم sebagai dasar pendapat kalian dan tinggalkanlah apa-apa yang aku katakan.”
(Al-Harawi di dalam kitab Dzammu al-Kalam dan selainnya)
d. “Apabila hadis itu sahih, maka dia ialah mazhabku”
(An-Nawawi di dalam kitab al-Majmu’ dan asy-Sya’rani (1/57) dan beliau sandarkan kepada Hakim, Baihaqi, dan al-Fullani {hal.107})
e. ‘’Engkau (Imam Ahmad bin Hanbal) lebih tahu daripadaku tentang hadis dan orang-orangnya (Rijalul Hadis). Apabila hadis itu sahih, maka ajarkanlah ia kepadaku apapun adanya, baik ia dari Kufah, Basrah, mahupun Syam. Apabila ia sahih, aku akan bermazhab dengannya”
(Ibnu Abi Hatim meriwayatkannya dalam Adab asy-Syafi’I {hal.94-95} dan selainnya)
f. “Setiap masalah yang sahih daripada Rasulullah صلی الله عليه وسلم bagi ahlu naqli dan bertentangan dengan apa-apa yang aku katakan, maka aku meralatnya dalam hidupku dan setelah aku mati.”
(Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah (9/107) dan selainnya )
g. “Apabila kamu melihat aku mengatakan suatu perkataan, sedangkan hadis nabi yang sahih bertentangan dengannya, maka ketahuilah, sesungguhnya akalku telah bermazhab dengannya”
(Hadis riwayat Ibnu Abi Hatim di dalam kitab Adab asy-Syafi’i {hal. 93} dan selainnya)
h. “Apapun yang aku katakan, kemudian terdapat hadis sahih dari nabi صلی الله عليه وسلم yang bertentang dengan perkataanku, maka hadis nabi adalah lebih utama. Olehnya, jangan kalian taklid padaku”
(Ibnu Hatim {hal. 93}, Abu Nu’aim, dan Ibnu Asakir (15/9/2) dengan sanad sahih)
i. “Setiap hadis daripada nabi صلی الله عليه وسلم, maka dia adalah pendapatku, walaupun kalian belum pernah mendengarnya daripadaku”
(Ibnu Hatim {hal. 93-94})
4. Ahmad bin Hanbal
Imam Ahmad adalah salah seorang imam yang paling banyak mengumpulkan sunnah dan paling berpegang teguh kepadanya. Sehingga belaiu membenci penulisan buku-buku yang memuat masalah-masalah fiqh furu’iyah dan ar-Ra’yi (Ibnul Jauzi di dalam kitab al-Manaqib {hal. 192}). Olehnya, beliau berkata:
a. “Janganlah kalian taklid kepadaku, jangan pula kepada Malik, as-Syafi’I, al-Auza’I, mahupun ats-tsauri. Tetapi, ambillah dari mana mereka mengambil.”
(al-Fullani, {hal.113}, dan Ibnu al-Qayyim di dalam kitab al-I’lam (2/302))
Pada riwayat lainnya, “Janganlah engkau taklid dalam perkara agamamu kepada salah seorang daripada mereka. Setiap perkara yang sandarannya kepada nabi صلی الله عليه وسلم dan para sahabat beliau, maka ambillah. Jika ia berasal dari tabi’in, maka seseorang dapat memilih.”
Pada waktu yang lain, beliau berkata, “Makna al-Ittiba’ iaitu seseorang mengikuti apa-apa sahaja yang berasal dari nabi saw dan para sahabat beliau. Adapun yang berasal dari generasi tabi’in, maka dia boleh memilih.”
(Hadis riwayat Abu Daud di dalam kitab Masaail al-Imam Ahmad {hal. 276 dan 277})
b. “Pendapat al-Auza’I, Malik, serta Abu Hanifah, semuanya adalah pendapat. Bagiku semuanya sama adanya. Adapun al-Hujjah hanya ada pada atsar-atsar nabawiyah.”
(Ibnu Abdi al-Bar di dalam kitab al-Jami’ (2/149))
c. “Barangsiapa yang menolak hadis Rasulullah صلی الله عليه وسلم, maka sesungguhnya ia telah berada di tepi kehancuran.”
(Ibnu al-Jauzi {hal. 182})
Itulah perkataan para Imam yang memerintahkan untuk berpegang teguh kepada hadis nabi صلی الله عليه وسلم dan melarang taklid kepada mereka tanpa adanya penelitian yang saksama. Perkataan-perkataan mereka sudah demikian terang dan jelas, sehingga tidak boleh didebat dan diputarbalikkan lagi. Dari sini pula, sesiapa sahaja yang berpegang teguh dengan sunnah yang sahih, walaupun bertentangan dengan perkataan para imam mazhab, sebenarnya dia tidak menyelisihi mazhab mereka dan tidak pula keluar daripada metode mereka. Bahkan , sikap demikianlah yang dikatakan telah mengikuti mereka dan berpegang teguh kepada ikatan kukuh yang tidak dapat diceraikan. Berbeza halnya dengan orang yang meninggalkan as-Sunnah yang sahih hanya kerana bertentangan dengan perkataan para imam mazhab. Dia telah melakukan kederhakaan kepada mereka, menyalahi, dan bertentangan dengan perkataan-perkataan imam tersebut.
Allah berfirman:
فَلاَ وَرَبِّكَ لاَ يُؤْمِنُونَ حَتَّىَ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لاَ يَجِدُواْ فِي أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُواْ تَسْلِيمًا .
“Maka demi Tuhanmu. Mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” (An-Nisa 4:65)
Dan firman-Nya:
فَلْيَحْذَرِ الَّذِينَ يُخَالِفُونَ عَنْ أَمْرِهِ أَن تُصِيبَهُمْ فِتْنَةٌ أَوْ يُصِيبَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ
“Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah-Nya takut akan ditimpa cubaan atau ditimpa azab yang pedih.”
Al-Hafiz Ibnu Rajab berkata: "Wajib bagi orang yang telah sampai kepada perintah Rasulullah dan dia telah mengetahuinya untuk menerangkannya kepada umat, menasihati mereka, dan memerintahkan mereka untuk mengikuti perintahnya sekalipun hal itu bertentangan dengan pendapat ulama yang diagungkan. Kerana, perintah Rasulullah lebih berhak untuk diagungkan dan diikuti dibanding pendapat ulama besar mana pun yang menyalahi perintah baginda dalam beberapa perkara, iaitu pendapat ulama itu terkadang keliru. Dari sini terlihat betapa para sahabat dan generasi setelah mereka menolak setiap orang yang menyelisihi as-Sunnah yang sahih dan tidak jarang mereka berlaku keras dalam penolakan ini. Hal ini bukan didasari rasa benci terhadap orang tersebut, melainkan dia seorang yang sangat dicintai dan diagungkan dalam hati mereka. Akan tetapi, Rasulullah lebih dicintai oleh mereka dan perintah baginda lebih utama untuk didahulukan dan diikuti. Dan hal itu tidak menghalangi mereka untuk memberikan penghormatan kepada seorang alim yang menyelisihi perintah baginda walaupun orang itu mendapat ampunan kelak. Seorang alim yang telah menyalahi perintah baginda mendapatkan janji ampunan daripada Allah kelak itupun tidak merasa benci tatkala perintahnya itu diselisihi apabila memang ternyata perintah Rasulullah bertentangan dengan pendapatnya.
(Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Abani berkata: “Bagaimana mungkin mereka membenci hal itu, sedangkan mereka telah memerintahkan kepada para pengikutnya – sebagaimana telah disinggung – bahkan mewajibkan mereka untuk meninggalkan perkataan-perkataan yang bertentangan dengan as-Sunnah. Bahkan, asy-Syafi’i telah memerintahkan para sahabatnya untuk menisbatkan as-Sunnah yang sahih kepada – mazhab beliau, walaupun beliau belum mengambilnya atau beliau telah mengambil pendapat yang bertentangan sunnah tersebut. Olehnya, tatkala al-Muhaqqiq, Ibnu Daqiq al-‘Ied, mengumpulkan beberapa masalah iaitu mazhab para imam yang empat menyalahi hadis yang sahih – baik secara sendiri-sendiri mahupun bersama-sama – di dalam kitab yang tebal. Pada bahagian pendahuluan beliau berkomentar:
“Sesungguhnya penisbatan masalah-masalah ini kepada para imam Mujtahidin adalah haram. Bahkan, wajib atas setiap ahli fiqh yang mengikuti mereka untuk mengetahuinya, jangan sampai menisbatkan permasalahan tersebut kepada mereka, yang pada akhirnya berbuat dusta kepada mereka.”)
No comments:
Post a Comment